Wednesday, October 20, 2010

Cinta Anjing Dan Kucing

Meluatnya aku! Apa taknye baru sebentar tadi masa waktu rehat, si Azura setiausaha Ketua Kembara datang memberitahuku yang mesyuarat AJK kelab akan diadakan petang ini selepas waktu sekolah. Nampak gayanya bertemu lagilah aku dengan manusia yang paling aku benci di dunia ini. ish….nasib-nasib! Nak lari kang, tak boleh pula!

“kringg…….”loceng panjang berbunyi menandakan tiba waktu balik. Kawan-kawan sekelas yang tadinyasibuk bersembang sebab guru tak masuk cepat-cepat mengemaskan beg dan kemudian beransur-ansur meninggalkan kelas 5 sutera yang memang terkenal dengan keadaan yang hingar-bingar jika ketiadaan guru.

“oi, Reen! kau tak mahu balik ke?” sapaan seseorang membuatkan aku tersedar. Aku pandang sekeliling. Kelas dah kosong dan suasana bingit tadi telah bertukar tenang. Yang tinggal hanya aku. Siapa pula yang berdiri di belakang ku? Lantas aku alih perhatian ke belakang dan ada tangan yang melambai-lambai ke wajah ku dengan jarak dekat. Ku tepis tangan itu. Ceh! rupa-rupanya Amira kawan baik aku!

“Kau nie kena sampuk ke Reen?” soal Amira

“Tak de lah. Kau tak balik lagi ke?” soal ku kembali.

“Aku tunggu kau lah”

“Aku ni sebenarnya ada meeting dekat kantin. Tak tahu bila nak habis” jelas ku.

“Tak apa, aku tunggu kau di pondok pengawal. okey?” cadang Amira.

“okey”

Perlahan-lahan Amira keluar meninggalkan aku keseorangan. Aku cepat-cepat mengemaskan beg dan keluar daripada kelas. Sementara itu aku sempat menoleh di suatu sudut kelas. Dah pukul 2.00. Mampus aku. Ini sah kena perli. Langkahku makin pantas menuju kantin.

“Hah..tu dia. Tuan puteri dah sampai”, itulah ayat pertama yang terbit dari mulut laser musuh ketat aku, Azmy.

“Tuanku, patik dah datang ni pun dah kira bertuah tau. Maklumlah, hari ni patik sibuk dengan pelbagai urusan negara”, ujarku dengan penuh kebencian. Eiiiiiiii! Meluat betul aku dengan manusia sorang ni!

“Awak tak datang pun tak apa. Kami dah habis meeting. Awak ni tak layak jadi AJK tau. Elok letak aje jawatan tu, menyusahkan orang sahaja”, luahnya.

Amboi sedapnya mulut laser dia mengutuk aku! Aku dah sedia membalas balik kata-katanya tetapi Farah macam tahu-tahu aje aku nak bersuara, lalu dia pun menyampuk. Kacau daun betullah minah sorang ni!

“Sudah. Sudah. Kau orang berdua ni pantang bertemu asyik bergaduh aje. Mengalahkan anjing dengan kucing. Kita berjumpa ni nak berbincang. Sebenarnya, cuti semester dah dekat. so, Azmy cadangkan kelab kita adakan camping”.

“Camping? kat mana?” soalku kembali.

“Hutan Lipur Lembing”, Roziman bersuara. Farah mengangguk mengiakan.

Aku termenung sejenak sambil mataku sempat memandang sekilas kepada Azmy. Jantan ni kalau nak buat aktiviti tak pernah elok-elok. Daki gunung lah, camping dalam hutan lah, berkenulah dan macam-macam lagi yang semestinya mengerah keringat perempuan.

“Setuju tak?” tanya Farahsambil semua mata menyorot ke arah ku. Belum sempat ku bersuara, mulut laser tu pun berbunyi.

“Kalau setuju pun kena ikut, tak setuju pun kena ikut. Tak ada pilihan.” katanya lantang.

Selagi si Azmy tu jadi pengerusi selagi tulah aku tak ada pilihan bersuara. Kepimpinannya mengalahkan Hitler. Aku lantas bangun menarik beg dan menggalasnya di bahu. Aku menoleh "ke arah Farah dan berkata “ Suka hati korang lah, aku nak balik.” menyesalnya aku datang, kata ku dalam hati. Wajah ku masam mencuka sepanjang perjalanan menuju pintu pagar. Sayup-sayup kelihatan Mira duduk menantiku di pondok pengawal. Apabila melihat aku berjalan mendekatinya, senyumnya mula menguntum. Melihat kawan baik aku yang sorang ni tersenyum membuatkan hati ku sejuk. Lantas aku membalas senyumannya. Mira kaulah kawan baikku dunia akhirat!

“Meeting pasal apa?” tanyanya membuka tirai perbualan.

“Si Azmy Hitler tu nak buat camping ke Hutan Lipur Lembing, cuti semester ni”, jelas ku.

“Muka masam ni, sah tak setuju punya kan?” pandai betul Best-Friend aku ni meneka.

Sambungnya lagi “ Tak baik kamu berdua bergaduh tau. Mana tahu dalam benci ada perasaan cinta?” melihat aku berdiam lagilah dia menambah “…lagipun korang berdua serasi sama-sama bijak dan sama-sama degil.” Ayat ni yang buat aku marah ni!

“Jaga sikit mulut tu kang aku lempang bisu sebulan”, marah ku.

“Marah nampak”, ujarnya sambil ketawa.

Deruman motor yang melintasi kami membuatkan aku dan Amira menoleh. Sejenak. Ceh, rupanya motosikal si Hitler tu. nyesal aku tengok!

Azmy tersenyum kambing. Perangai Azureen petang itu membuatkan Azmy tersenyum sendiri. `angin apalah pula yang dibawanya hari ini?’ fikir Azmy. Namun begitu, hatinya riang gembira kerana dapat juga mengenakan si Azureen hari ini. `Kenapalah Azureen tu benci sangat kat aku?’

Sampai dirumah jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Lepas mandi dan makan, aku terus masuk kebilik. kakiku tidak terus melangkah ke meja belajar sebaliknya ke sisi bantal empukku. Aku segera menghempaskan badan ke atas tilam. Mengingatkan kembali peristiwa tadi memang menyakitkan hati. Si Azmy asyik nak ikut kepala dia. Bengang-bengap!

Bercakap tentang si Azmy atau nama sebenarnya Mohd Azmy Azimie memang membosankan. Dulu, masa mula-mula bertukar ke sekolah Seri Mawar, aku adalah juga berminat dengan dia. Orangnya bolehlah dikategorikan sebagai lelaki `Handsome’ ditambah pula fizikal nya yang tinggi lampai dan otaknya yang geliga. Ramai awek yang tergila-gilakannya. Tapi perasaan ingin berkenalan itu serta merta hilang bila mengenangkan betapa dia memalukan aku di khalayak ramai.

Ketika itu kami berdua terpilih oleh panitia Bahasa Melayu untuk menyertai pertandingan debat yang bertajuk `poligami’. Sebagai perempuan, semestinya aku menentang habis-habisan bab ini. Siapa rela dimadu beb? Hujah ku mendapat tepukan gemuruh kaum hawa. Bangga ku sekejap, tapi bila tiba giliran Azmy dia bukan main tak setuju dan mengutuk hujah ku habis-habisan. Masih terngiang lagi hujah pedasnya yang sekali gus membuatkan aku malu semalu-malunya.

“Cik Azureen, saudari bukan main lagi mengutuk lelaki ye! Tahu kah saudari dan anda semua, yang berpoligami itu dibenarkan oleh agama. Sekurang-kurangnya ia boleh meramaikan lagi umat. Mungkin saudari ini tak faham erti poligami yang sebenar. Beliau mungkin takkan berkata sedemikian sekiranya perempuan yang dibenarkan berpoligami. Cubalah bayangkan saudari ini bersuami empat!”

Hendak menitis rasanya air mata apabila mendengar kata-kata pedasnya. Riuh rendah satu dewan mentertawakan aku. Rasa malu sangat! Mulai saat itu aku menyimpan perasaan dendam yang tak mungkin terlerai dan di sini lah bermulanya titik permusuhan kami. Aku benci sebenci-bencinya sehinggakan kalau dia buat ubat pengasih padaku pun gerenti takkan kena punya! Mataku terasa semakin berat. Lantas ku buang semua perkara yang bersarang di fikiranku jauh-jauh. Satu, dua, tiga….aku pun terlelap.

Cuti semester datang lagi. Kalau orang lain seronok, aku pula meluat. Apa taknya , kena ikut Si Azmy Hitler dan konco-konconya berkhemahdi Hutan Lipur Lembing. Aku tak dapat ikut mama, papa dan adikku melancong ke medan. Hish…geramnya! Kalau aku tak nak ikut kang dikatanya aku AJK tak bertanggungjawab pula! Rombongan kami tiba kira-kira dua jam selepas bertolak. Walaupun Hutan Lipur itu hanya sejauh 12 kilometer saja, tapi terpaksa ambil masa yang panjang kerana pergi dengan basikal. Hampir-hampir nak meletup tayar basikal aku. Tu lah aku dah kata Azmy tu memang nak seksa orang. Tapi mamat tu tetap dengan pendiriannya yang berbasikal itu lebih `advantures’. Ya allah kau tabah kan lah hati ku ini!

Setelah parking basikal di tempat yang ditetapkan dan khemah pun telah siap didirikan, aku ingatkan bolehlah rehat sebentar. Tapi belum pun sempat aku nak berangan, Si Azmy tu sibuk memanggil semua AJK untuk bermesyuarat.

Azmy merenung semua AJK kelab kembara yang berkumpul di hadapannya. Ada yang ceria, berwajah letih dan tidak kurang juga yang masam mencuka. Yang masam mencuka tu siapa lagi kalau bukan Azureen!

“Baiklah, saya nak bahagikan awak semua kepada beberapa kumpulan. Biar senang buat kerja. Azureen dan Farah…awak berdua bawa dua tiga orang pergi cari kayu api.okay! Roziman, Najib dan Sham ditugaskan di bahagian memasak. yang lain tu ikut saya buat perancangan program untuk malam ini. setuju?” cadang Azmy.

“Tak setuju!” ujarku keras. Mana adil perempuan buat kerja berat , yang lelaki senang-senang disini. Sepatutnya….”

Belum pun sempat aku nak menghabiskan ayat, dia sibuk memotong. “ Sepatutnya macam mana? Kerja cari kayu api tu pun berat ke? Takkanlah awak nak goyang kaki macam tuan puteri kat sini….” mak oiiii……..kasarnya bahas laser sekor ni…

“Awak jaga sikit mulut ya…” tak dapat aku nak habiskan kata-kata kerana sebak menyelubungi dada. Mataku berkaca tetapi aku berdoa kepada tuhan agar ia tidak tumpah di depan musuh ketat aku ini.

“Sudahlah tu Reen, Azmy! ingat kita dalam hutan ni. Tolong lah jaga mulut dan perbuatan kita.” Najib mencelah mendamaikan keadaan.

“Jom Farah” aku menarik tangan Farah untuk pergi dari situ.

Malam itu Azmy terdiam sendiri sambil bersandar di sebatang pokok besar. Kejadian petang tadi masih menguasai fikirannya. Itulah Azmy, mulut tu cabul sangat. Bercakap tak reti nak fikir risiko! Menyesal! menyesal! Sorry Reen, aku tak sengaja sakitkan hati kau. Betapa hiba hatinya melihat gadis yang dipuja dalam diam bergenang airmata akibat kata-katanya. Mana sangka akan jadi begitu kerana Azureen yang dikenalinya tak pernah kalah bila berhadapan dengannya. Pendek kata sebanyak mana Azureen mencadangkan, sebanyak itulah dia membangkang. Reen, Reen……I LOVE YOU!

Tiba-tiba Azmy tersentak apabila terdengar suara orang meminta tolong, tidak jauh dari tempat duduknya. Dia amati baik-baik arah suara itu datang. Jelas ia datang dari kawasan air terjun dan milik seorang perempuan. Mungkinkah itu suara pontianak atau langsuir? Mak oiiiiii…….seramnya! Azmy segera mendapatkan kawan-kawannya dan berpakat untuk pergi ke arah suara itu. Mereka ingin tahu apa sebenarnya yang terjadi.

Apabila sudah hampir dengan suara itu. Najib lantas menyuluh sekeliling dan kelihatan kelibat manusia. “Ya Allah….kau rupanya Reen!”

Aku mengusap-usap pergelangan kakiku yang dibalut kemas. Gara-gara terjatuh ke dalam lubang jerat sewaktu ber`camping’ dulu. Kakiku cedera dan diberi cuti rehat oleh doktor selama seminggu. Aduh, boringnya duduk di rumah! Nasib baiklah ada kawan-kawan yang sudi menjenguk. Petang itu, Si Amira teman baikku datang melawat dengan membawa sejambak mawar. Aku pelik bin ajaib, tak pernah dia bawa bunga untuk aku.

“Bunga ini istimewa tau…” ujar Amira tersengih-sengih.

“Tentulah, pemberian bestfriend aku”.

“Kau jangan perasan pula. Tak ingin kau nak bagi. Sebenarnya bunga ni dari…..dari Azmy, musuh ketat engkau tu…”

“Apa?” terjegil mataku mendengarnya. Dengan pantas ku lempar bunga itu ke sudut bilik. Bencinya aku!

“Kalau tak suka pun janganlah buang. Kesian Azmy tu susah payah belikan kau bunga sebagai salam perdamaian”, pujuk Amira.

“Sorry Mira, aku tak makan pujuk. Berani juga mamat gila tu hantar bunga kat aku. Dia bukannya boleh dipercayai sangat. Tak pasal-pasal diguna-gunanya, merana seumur hiduplah aku. Salam perdamaian konon”, aku berkata.

“Kalau kau nak buang bunga tu, itu hak kau. Aku ni pemegang amanah saja”, tambah Amira seakan Kecewa.

Namun kehadiran Amira hari itu bukanlah sekadar menyampaikan bunga kiriman Azmy tetapi membawa berita panas di sekolah. Katanya di sekolah, sekarang tengah heboh orang bercerita pasal anjing dan kucing (aku dan Azmy lah tu). Kononnya, anjing telah menyelamatkan kucing ketika ber`camping’ di Hutan Lipur Lembing. Ya Allah, malunya aku mendengarnya. haru……haru…..

Tidak aku nafikan gelaran anjing dan kucing begitu sinonim dengan aku dan Azmy di sekolah. Ini lantaran kami sering bertegang urat apabila bertemu. Perkara sebesar hama pun boleh menjadi sebesar dunia kalau dibincangkan bersama. Kadangkala aku sendiri tak faham bagaiman kami mula bermusuh dan dalam masa yang sama bergandingan dalam berbagai aktiviti sekolah.

Hari minggu menjelma lagi. Ganaplah seminggu aku dirumah. Kakiku yang cedera sudah beransur pulih. Minggu depan wajah ku akan kembali ke sekolah. Sedang aku asyik mengayun buaian di depan rumah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan ngauman enjin motor yang berhenti di hadapan pagar rumah. Ya Allah, Si Azmy Hitler! aku benar-benar terkejut.

“Sampai hati awak buang bunga pemberian saya”, Azmy bersuara sambil memandang tepat ke wajah ku. Laa…mana dia tahu? Ini sahih Mira yang beritahu. Nanti kau Mira.

“Hari ni saya bawakan awak coklat, ambillah!” Azmy menghulurkan sekotak coklat yang berbungkus cantik dan aku menyambutnya dalam keadaan serba salah. Ya Allah lembutnya bahasa…

“Maaf sebab hari ni baru dapat melawat awak. Bukan apa saya sibuk. Lagipun nak tunggu gosip kita habis diperkatakan”, ujar Azmy tersenyum mesra.

Aku seperti kehilangan kata-kata. Sukar dipercayai musuh ketatku yang sering menyakiti hati ini, kini berdiri di hadapanku penuh santun. Aku akui walaupun di mata ku Azmy itu sejahat-jahat manusia namun tidak pernah ku lupa dia menjadi sebaik-baik manusia yang menyelamatkan aku dan membonceng aku dengan basikal ke hospital yang jaraknya lebih dua kilometer pada malam itu juga. Gara-gara itu, aku dan dia heboh digosip.

“Nampaknya `kucing’ bisu hari ini. Tak pelah saya datang untuk memohon maaf dan saya………saya sayangkan awak ……Azureen”.

Hah….sudah! terkedu aku dibuatnya. Benarkah apa yang aku dengar? Wajah Azmy ku tatap dengan penuh persoalan.

“Saya tak mengharap jawapannya sekarang. Saya balik dulu”, Azmy meminta izin pergi setelah melihat keadaanku yang diam membisu dan air mukaku berubah setelah mendengar pengakuannya.

“Azmy!” laungku dan Azmy menoleh.

“Saya akan pertimbangkan…” ujarku tersenyum malu. Azmy pun tersenyum penuh harapan.

Tak sangka rupa-rupanya usikan teman-teman bakal menjadi kenyataan. Benih kasih mula bersemi walaupun dipupuk ditanah yang gersang. Aku pasti selepas ini heboh pula cerita anjing dan kucing sekolah menengah seri mawar saling jatuh cinta. Namun itulah takdir.